zulfadhli dan juwaidi

Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menjelaskan tiga atlet compound yang tidak menyertai skuad negara tahun ini disebabkan mereka tidak bersetuju dengan kandungan kontrak yang ditawarkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketiadaan tiga pemanah itu diakui secara tidak langsung turut memberikan kesan kepada kekuatan keseluruhan skuad compound dengan tumpuan utama kepada Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Persediaan skuad memanah compound negara untuk menghadapi program latihan 2019 dikejutkan dengan tindakan tiga atlet terbabit yang mengambil keputusan untuk tidak menyertai skuad negara.

Mereka ialah Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip —  trio yang memenangi pingat emas acara berpasukan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur2017.

Juwaidi dan Kin Lip juga memenangi gangsa acara berpasukan di pentas Sukan Asia Indonesia tahun lalu.

Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hassan, menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang jawapan daripada ketiga-tiga pemanah itu berhubung kontrak latihan baru yang ditawarkan kepada mereka.

“MSN telah memberikan surat tawaran kepada mereka, namun masih belum menerima sebarang jawapan.

“Apa yang kami ketahui sekarang adalah mereka telah menarik diri.

“Berdasarkan syarat yang ditetapkan tahun ini, semua atlet perlu menjalani proses pemilihan memandangkan kami mahu mencari atlet terbaik untuk mewakili Malaysia.

“Jika mereka gagal menghadiri sesi pemilihan, mereka akan digugurkan secara automatik,” katanya.

Tindakan ketiga-tiga pemanah tersebut secara tidak langsung menyaksikan mereka tidak mengambil bahagian dalam sesi pemilihan pemanah compound yang dianjurkan oleh NAAM hari ini.

Antara yang kelihatan dalam sesi itu adalah pemanah berpengalaman wanita, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

“Saya agak terkejut dan berasa sedih memandangkan trio itu merupakan pasukan utama.

“Tanpa mereka, kami turut berasa tempang.

“Ketua pasukan turut meninggalkan kami dan saya bersama rakan-rakan lain akan mengetuai pasukan buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan berbincang dengan pemanah compound lelaki negara yang mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat bersama skuad kebangsaan.

Berbeza dengan pemanah recurve, bahagian compound kebiasaannya menyaksikan atlet diberikan kontrak serta elaun separuh masa dan ini telah diamalkan sejak persediaan ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Mereka akan diberikan penerangan lebih lanjut tentang program latihan dan pertandingan yang akan mereka lalui serta pertandingan yang telah dipersetujui dalam jawatankuasa kerja,” ujar Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

“Empat orang lagi tidak hadir dan kami akan berhubung dengan mereka bagi mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai keperluan dan kehendak mereka.

“Kali ini, kami masih kurang jelas mengapa mereka memilih untuk tidak meneruskan latihan dengan cara yang telah kami gunakan sejak sebelum ini.”