Datuk Ahmad Shapawi Ismail: Elaun RM500 wajar buat atlet separuh masa

Isu sedemikian tidak sepatutnya timbul.

0
203
Datuk Ahmad Shapawi Ismail

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menjelaskan elaun sebanyak RM500 buat atlet separuh masa adalah wajar selain menganggap isu sedemikian tidak sepatutnya timbul.

Terdahulu, pemanah compound wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, melahirkan rasa tidak puas hati apabila hanya menerima elaun sebanyak RM500 bagi atlet separuh masa.

Namun, Shapawi telah menjelaskan dalam mesyuarat skuad memanah negara bersama MSN bahawa hanya tiga atlet yang akan menjalani latihan separuh masa, tidak termasuk Fatin.

Ini kerana Fatin tetap akan mengharungi program latihan sepenuh masa, cuma dia tidak menetap di MSN dan bakal menerima elaun yang sewajarnya berdasarkan kontrak.

“Sebarang kemusykilan sebelum ini adalah sekadar salah faham dan ia telah dijelaskan dalam mesyuarat hari ini,” kata Shapawi.

Dalam masa sama, Shapawi menegaskan perbincangan di antara MSN dan atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, masih belum selesai selain berharap isu itu tidak lagi berpanjangan.

“Bagi isu membabitkan Irfan, saya telah menjelaskan dalam kenyataan akhbar bahawa proses perbincangan masih belum berakhir.”