Pemanah recurve paralimpik negara, S. Suresh, menyambut baik cadangan jurulatihnya, Marzuki Zakaria, yang berhasrat mendapatkan pencabar dari luar sempena Kejohanan Simulasi bulan Disember 2020.
Suresh bersama atlet compound para, Wiro Julian, yang berjaya mengesahkan tempat dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 — bakal bersaing dengan atlet normal kebangsaan di Lapang Sasar Memanah Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.
Dia melihat langkah itu mampu melonjakkan semula keyakinannya selepas kali terakhir beraksi dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan, Mac lalu.
“Sebenarnya saya tidak tahu pun pasal ini tetapi seingat saya kami pernah buat kejohanan seumpama ini sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA.
“Saya sudah biasa dengan rakan sepasukan, saya biasa tengok mereka jadi tidak takut.
“Tetapi kalau berdepan peserta dari luar, bolehlah saya uji cara mengawal gemuruh dan tahap kemahiran saya,” katanya ketika dihubungi.