Jika projek itu menghasilkan kejayaan dalam Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan — ia akan diguna pakai terhadap 22 persatuan sukan kebangsaan untuk menghadapi temasya di Birmingham, England, dan Hanzhou, China.
Atlet terjun dan memanah negara dipilih sebagai perintis projek khas yang akan digunakan secara menyeluruh, bermula Oktober tahun depan.
Projek itu banyak menggunakan kepakaran sains sukan seperti yang dilakukan terhadap jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, sejak 2016.
MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) akan memantau perkembangan Jun Hoong serta skuad memanah yang diketuai Khairul Anuar Mohamad bagi memastikan mereka mendapat bantuan secara optimum.
“Kami menggunakan atlet program RTT (Road to Tokyo) sebagai projek perintis ini supaya kami dapat mengenal semua proses yang boleh direkod, dibincang dan dimuktamadkan bersama-sama jurulatih dalam misi mereka mengejar pingat dalam temasya Olimpik akan datang.
“Menerusi pengalaman melalui dua sukan yang dipilih ini, kami berharap ia dapat diketengahkan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024 kelak,” kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.