AUG2018: SKUAD MEMANAH LEPASI SASARAN EMAS

0
104

NAY PYI TAW: Sukan Universiti ASEAN (AUG) edisi ke-19 melabuhkan tirainya malam ini, dengan menyaksikan kontinjen negara meraih pencapaian cemerlang apabila melepasi sasaran 35 emas yang ditetapkan.

Pencapaian 37 emas, 43 perak dan 49 gangsa itu adalah yang kedua terbaik di luar Kuala Lumpur, selepas muncul juara keseluruhan di Laos pada 2012.

Kejayaan kali ini jauh lebih baik ketika AUG Singapura 2016, yang menyaksikan Malaysia hanya memungut 27 emas keseluruhan. Thailand muncul juara keseluruhan buat kali ketujuh selepas mengumpul 62 emas, 52 perak dan 38 gangsa, diikuti Indonesia (44 E, 39 P dan 38 G) dan Malaysia di tangga ketiga.

Acara yang menjadi penyumbang terbesar kontinjen negara di temasya dwi tahunan ini dan berjaya melepasi sasaran emas ialah memanah (tujuh emas), renang (lapan emas), badminton (tiga emas), wushu (empat emas) dan catur (dua emas). Turut cemerlang ialah acara golf yang meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa walaupun tidak diletakkan sasaran membawa pulang pingat emas.

Daripada 18 acara yang disertai Malaysia, hanya bola tampar dan perahu naga yang gagal menyumbang pingat, manakala bola sepak dan ping pong tidak memenuhi jangkaan apabila sekadar memenangi gangsa.

Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Prof Datuk Dr Hassan Awang Dahan berkata, Malaysia memiliki kemampuan untuk melepasi sasaran, bahkan mampu meraih kedudukan kedua keseluruhan, namun ada beberapa acara yang disandarkan pingat gagal mencapai sasaran.

“Beberapa sukan yang mempunyai banyak acara, (sepatutnya) boleh menyumbang lebih banyak emas seperti renang. Kita perlu kaji semula untuk persiapan AUG akan datang. Begitu juga sukan seperti olahraga yang tidak mencapai sasaran.

“Kita perlu bersedia lebih awal serta bekerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan bagi memastikan misi di AUG adalah tanggungjawab bersama, bukannya tanggungjawab satu pihak saja,” katanya.

Ini kerana katanya, kejayaan di AUG boleh dianggap sebagai penanda aras kemampuan atlet muda untuk bertanding temasya lebih besar di masa depan.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Kontinjen Malaysia, Tony Azman Hassan berkata, ada juga penuntut IPT yang menyertai AUG terbabit dengan kejohanan dwitahunan lain seperti Sukan SEA dan mereka patut diberikan lebih banyak pendedahan.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kekesalan apabila ada persatuan sukan yang enggan melepaskan atlet kebangsaan yang menuntut di IPT bagi mewakili negara ke temasya kali ini.

“Kejayaan kontinjen negara pada temasya besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik juga turut didorong atlet IPT.

“Jadi, saya mengharapkan MASUM dapat duduk semeja dan merencana program latihan serta lebih bertolak ansur untuk melepaskan atlet IPT bagi mewakili negara di AUG seperti dilakukan Thailand dan Indonesia,” katanya.