Juwaidi Mazuki kembali bersemangat memburu impian ke Sukan Olimpik, selepas Memanah Dunia (WA) mengumumkan acara compound akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Menurut Juwaidi, pengumuman itu mengejutkan tetapi menggembirakan, memandangkan dia mula memperlahankan rentak kariernya, kerana menyangka pintu ke Olimpik sudah tertutup buat pemanah compound.
“Saya memang tak jangka berita seperti ini. Sebelum ini saya dah mula ‘slowing down’ kerana tak pasti acara compound akan dipertandingkan di Olimpik,” katabya ketika dihubungi.
Jelasnya, walaupun kembali menyertai skuad kebangsaan, dia merancang hanya mahu kekal kompetitif, kini sebaliknya, bersemangat dengan peluang merealisasikan impian yang selama ini samar.
“Berita ini beri makna besar buat saya. Mungkin saya akan dipanggil semula jurulatih untuk mula latihan dalam masa terdekat. Jadi saya perlu susun perancangan rapi,” katanya.
Juwaidi yang telah menandatangani kontrak bersama skuad kebangsaan awal tahun ini turut menegaskan fokusnya kini juga terarah kepada Sukan SEA di Thailand, selain mengekalkan prestasi bersama gandingan utama, Fatin Nurfatehah dalam acara berpasukan campuran.
“Kalau kombinasi saya dengan Fatin dapat dikekalkan, itu satu kelebihan. Tapi kami kena kerja keras dari segi latihan dan kejohanan selepas ini,” tambahnya.
Juwaidi yang pernah berada di ranking ke-20 dunia kini merupakan antara sandaran utama negara dalam program podium dan pemburuan pingat di Sukan SEA akan datang.
Awal pagi tadi, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan menambah satu lagi pingat di LA28 dalam sukan memanah.
Sukan itu yang menawarkan 5 pingat emas sebelum ini, semuanya dalam acara recurve akan ditambah satu menjadi enam, apabila acara compound berpasukan campuran dimasukkan.