Kejohanan Memanah Padang Kebangsaan@ELMU 2024 (NFAC @ELMU 2024) yang akan diadakan pada 28 dan 29 Disember dijangka menarik sehingga 200 peserta dari seluruh negara, termasuk peserta di bawah umur.
Naib Canselor Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU), Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, menyatakan bahawa kejohanan peringkat kebangsaan ini, yang pertama kali dianjurkan oleh sebuah universiti di Malaysia, akan berlangsung di kampus ELMU di Bandar Enstek, Nilai.
“Terdapat tiga kategori dipertandingkan: senior, junior bawah 18, dan junior bawah 12 tahun. Jumlah penyertaan dihadkan kepada 196 orang untuk setiap kategori mengikut peraturan pertandingan memanah dunia. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 24 Disember ini.
“Ahli memanah dari seluruh negara boleh mendaftar untuk menyertai kejohanan ini melalui Malaysia Archery Results and Entry Online System (MAREOS). Selain peserta, pengurus dan jurulatih juga perlu mendaftar melalui MAREOS. Pendaftaran melalui borang fizikal tidak diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kejohanan NFAC@ELMU 2024 di Kampus ELMU di Bandar Enstek, baru-baru ini.
Selain itu, Naib Presiden NAAM, Ahmad Badli Shah Abdul Aziz, menyatakan pihaknya menyokong sebarang aktiviti yang membantu mengembangkan sukan memanah di Malaysia.