Pemanah negara, Syaqiera Mashayikh teruja dapat beraksi di pentas Olimpik buat kali kedua selepas mengesahkan tempat ke temasya terbesar itu ketika beraksi di kejohanan Memanah Kelayakan Akhir Olimpik Paris di Antalya, Turkiye, bulan lalu.
Ketika tiada sasaran diletakkan kepada trio wanita negara yang turut dibarisi Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil, mereka melakar kejutan apabila menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara recurve berpasukan wanita.
Mereka menjadi penyelamat sukan itu apabila buat kali pertama selepas 16 tahun Malaysia tidak akan mempunyai pemanah lelaki akan beraksi di Olimpik.
Bagi Syaqiera, dia mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada barisan jurulatih dan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepada dirinya sehingga berjaya layak ke Paris 2024 yang akan bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
“Untuk layak ke Olimpik kali ini tidak mudah. Saya bersama pasukan berusaha sehabis baik dan amat berbangga dengan pasukan kerana kami sama-sama berusaha hingga layak ke Paris 2024.
“Namun jika ditanya secara peribadi, saya sebenarnya tidaklah terlalu berharap untuk layak ke Paris 2024, tapi Alhamdulillah Allah SWT permudahkan urusan saya dan pasukan sehingga kami layak,” katanya.
Atlet berusia 23 tahun itu turut berharap pengalaman ketika beraksi di Tokyo tiga tahun lalu sekurang-kurangnya dapat membantunya menghilangkan rasa gementar apabila beraksi di Paris 2024 nanti.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama pasukan recurve wanita Malaysia akan beraksi di temasya terbesar dunia itu.
Dia yang kini berkedudukan ranking 121 dunia itu turut layak secara automatik beraksi dalam saingan individu di Paris nanti.
Trio berkenaan mengesahkan tiket ke Paris 2024 selepas mara ke separuh akhir dan membawa pulang pingat perak.
Pada aksi final mereka tewas kepada gandingan pemanah dari China iaitu Yang Xiaolei, Li Jiaman dan An Qixuan yang menundukkan mereka 5-4.