Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Selangor 2024 (SINAR 2024) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Februari 2024 di Dewan C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang merupakan kejohanan memanah yang terbesar di negara ini membabitkan lebih 1,600 pegawai dan atlet tempatan serta antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan.
SINAR 2024 dianjurkan oleh Persatuan Memanah Selangor (SELAR) dengan Kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dengan rakan strategik iaitu Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) selain disokong oleh Kementerian Belia Dan Sukan, Kerajaan Negeri Selangor serta Rakan Muda.
Para atlet yang bertanding juga berpeluang mencatatkan rekod kebangsaan berikutan pengiktirafan dan penarafan yang diakreditasikan oleh NAAM untuk kejohanan ini.
Bagi kategori umur bawah 12 tahun dan 15 tahun, tiada rekod rasmi pernah dicatatkan. Ini bermakna, rekod kebangsaan bagi kategori bawah umur 12 dan 15 tahun bakal dicipta di Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Selangor 2024.
Rekod kebangsaan bagi jarak 18 meter acara Recurve pada ketika ini milik bekas pemanah negara, Cheng Chu Sian iaitu 581 mata dan bekas pemanah Selangor, Aisyah Najihah M. Azizul dengan 557 mata yang masing-masing dicatatkan pada Kejohanan Memanah Dalam Dewan UPM pada tahun 2018 dan 2016.
Bagi acara Compound pula, pemegang rekod ialah dua pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki dengan 594 mata dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh dengan 578 mata. Mohd Juwaidi mencatatkan rekod berkenaan di Taipei Archery Open – IWS Stage 3 2023 manakala Fatin Nurfatehah semasa Kejohanan Memanah Dalam Dewan UPM 2016.
Bagi kategori Barebow, Nor Idzuwan Mohammad adalah pemegang rekod kebangsaan pertama dengan catatan 526 mata yang dicipta di Kejohanan Memanah Nimes 2024 di Perancis baru-baru ini. Rekod kebangsaan bagi barebow wanita bakal dicipta di SINAR 2024.
Sekurang-kurangnya lima rekod kebangsaan bakal menjadi rebutan para pemanah di SINAR 2024.
SINAR 2024 ini bakal menjadi batu loncatan kepada sukan memanah negara untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan memanah.