PERNAH terfikir untuk berhenti dalam karier memanahnya, namun ibu menjadi pemangkin kepada Ariana Nur Dania Mohamad Zairi untuk meneruskan karier dalam sehingga kini.
Mula berjinak sebagai atlet seawal usia 10 tahun, Ariana kini enggan menoleh ke belakang dan terus memburu impiannya untuk mengharumkan nama negara dalam sukan tersebut.
“Keluarga banyak membantu. Saya bermula ketika berumur 10 tahun. Saya pernah hampir berhenti, tetapi mereka terus mendorong saya, sehinggalah dapat bersama skuad kebangsaan dan berjaya ke Sukan Olimpik,” katanya.
“Sokongan ibu dan bapa cukup besar bagi saya, segala usaha mereka untuk memastikan saya ke tahap ini cukup bermakna sekali.”
Terdahulu, Ariana menguasai pusingan kelayakan Kejohanan Kelayakan Benua Asia ke Sukan Olimpik Paris 2024, sambil memecah rekod kebangsaan 70 meter 36 arrows wanita dengan jumlah 337 mata.
Ariana terus mencuri tumpuan dalam aksi final, di mana dia menewaskan pemanah Uzbekistan, Ziyodakhon Abdusattorova, 7-3 untuk membawa pulang pingat emas.
Susulan pencapaian membanggakan Ariana, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan, bakal mengusulkan agar pemenang pingat emas itu dimasukkan ke dalam Program Podium terlebih dahulu.
Dan, pemanah kebangsaan yang lain masih berpeluang menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris, dengan menghadapi saingan Kejohanan di Turki pada Jun tahun hadapan.
Jurulatih memanah kebangsaan, Wan Khalmizam Wan Abdul Aziz, pula mendedahkan rahsia kejayaan Ariana, yang memiliki fokus yang sangat kuat biarpun terdapat gangguan daripada faktor luaran.
Dia juga yakin ia bakal menjadi pembakar semangat kepada beberapa atlet pelapis memanah yang lain untuk menanam cita-cita beraksi di Sukan Plimpik Paris 2024.