Pemanah senior negara, Khairul Anuar Mohamad berdepan kemungkinan disingkirkan daripada Program Podium sekiranya masih gagal meningkatkan prestasinya sebelum hujung tahun ini.
Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan berkata Olimpian negara itu perlu bersaing dengan semua atlet yang lain bagi merebut tempat untuk disenaraikan dalam program kendalian MSN itu.
“Menerusi perbincangan dengan MSN, kami diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk menamakan atlet bagi disenaraikan dalam Program Podium. Dalam tempoh ini, kami akan mencari dan memilih atlet yang benar-benar layak untuk disenaraikan.
“Ini boleh dianggap peluang kedua buat Khairul Anuar bersama seorang lagi atlet (Muhamad Zarif Syahir Zolkepeli) untuk meninkatkan prestasi mereka. Namun, kedua-dua mereka perlu melalui proses pemilihan yang ditetapkan bersama semua atlet dari seluruh negara.
“Berdasarkan kriteria yang ditetapkan, sekiranya ada tujuh atlet yang layak, mereka akan disenaraikan tetapi minimum kami minta empat atlet untuk berada dalam program ini,” kata Abdul Hamid selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama MSN di sini, hari ini.
Pada Sukan SEA Hanoi, Mei lalu, Khairul Anuar yang tiga kali beraksi di pentas Sukan Olimpik bermula edisi 2012 gagal membawa meraih pingat emas sebaliknya sekadar membawa pulang dua gangsa masing-masing dalam acara individu recurve dan berpasukan campuran bersama gandingannya, Syaqiera Mashayikh.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid, berkata Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung, September depan turut akan menjadi medan pemilihan untuk atlet disenaraikan dalam Program Podium.
“Selain itu, kita juga ada baki empat lagi sirkit kebangsaan yang turut akan dijadikan sebagai medan pemilihan. Senarai penuh atlet yang terpilih selewat-lewatnya akan diketahui pada Januari tahun depan,” katanya.