Pemanah remaja Selangor, Amberlyn Dania Petra Ahmad Petra Firdaus mencatatkan rekod kebangsaan apabila berjaya mengumpul 619 mata bagi Kategori 50 meter (m) Bawah 15 Tahun Perempuan.
Selain itu, pemanah dari Johor, Muhammad Akid Bazli Ezaidin turut melakukan pencapaian sama Kategori Lelaki Bawah 15 Tahun selepas mengumpul 653 mata pada hari pertama Kejohanan Memanah Terbuka Selangor Ian Scott International 2021 anjuran Persatuan Memanah Selangor (SELAR) di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pencapaian itu diiktiraf sebagai rekod kebangsaan selepas julung-julung kalinya Kategori 50m itu dipertandingkan pada kejohanan peringkat kebangsaan berdasarkan peraturan oleh World Archery (WA) mengikut tahap umur terbabit.
Rekod kebangsaan mengikut Pusingan Kelayakan turut dicatatkan oleh pemanah Wilayah Persekutuan (WP), Shazremil Hariz Ahmad Hafiz dengan 333 mata dan pemanah Selangor, Nur Arissa Najlaa Fadzil Fairuz (313 mata).
Dalam pada itu dua pemanah Kelantan, Muhammad Fakry Azua Abdullah dan Nuraisya Nazira Mohd Zailuddin menguasai Pusingan Olimpik kategori berkenaan apabila masing-masing menggondol pingat emas.
Muhammad Fakry menewaskan Muhammad Irfan Hilmi Mohd Kusyairi (WP) manakala Nuraisya menundukkan M Khiritigaa dari Pulau Pinang dalam perebutan pingat emas.
Bagi kategori lelaki Pusingan Olimpik, pingat gangsa dimenangi oleh Ahmad Ammar Farhan (WP) dan Muhammad Taufiq As-Syifa’ Mohamed Sham (WAW Archery) tempat keempat manakala kategori perempuan Hannan Sofwah Hairulazim (Selangor) serta Amberlyn Dania (Keempat).
Sementara itu, Presiden SELAR, Datuk Rosli Atan berkata, persatuan itu mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan berkenaan mulai 15 hingga 19 Disember 2021 berikutan tiadanya penganjuran sebarang kejohanan sejak negara diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.
“Kami menganjurkan kejohanan ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan ketat antaranya semua pemanah dan jurulatih wajib menjalani saringan Covid-19 terlebih dulu dan hanya yang negatif saja dibenarkan menyertai pertandingan ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak dan penaja utama yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi menjayakan kejohanan kali ini.
“Matlamat kami di SELAR ialah untuk memastikan pelapis negara sukan memanah ini terus dapat dilahirkan walaupun kita berada dalam pandemik Covid-19.
“Ini kerana WA sudah pun memulakan penganjuran kejohanan peringkat dunia yang turut membabitkan Kategori Remaja.
“Kami mahu pemanah remaja kita bertanding sehingga ke peringkat itu dan ia mesti dimulakan dari bawah seperti yang SELAR lakukan ini. Terima kasih kerana semua negeri yang menyokong kami,” katanya.