Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada hari ini bagi mendapatkan pelaporan status terkini penganjuran Sukan Malaysia Ke XX dan Sukan Para SUKMA ke XX, Johor 2020 dari Sekretariat SUKMA Johor 2020.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh semua wakil dari negeri – negeri yang terlibat termasuk pihak Kerajaan Negeri Johor. Mesyuarat turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia.
Pengelolaan Sukan Para SUKMA pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 dijadualkan pada 2 hingga 10 April 2021 telah dibatalkan disebabkan oleh penularan jangkitan COVID-19.
Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada hari ini telah bersetuju atas perkara – perkara seperti berikut:-
1.1 Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bersetuju agar penganjuran Sukan Malaysia 2022 oleh Negeri Johor ditangguhkan kepada tahun 2024.
1.2 Jawatankuasa Tertinggi bersetuju agar Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukan Malaysia 2022 dan Sukan PARA SUKMA 2022 di Kuala Lumpur. Tarikh penganjuran kedua-dua temasya berkenaan akan dicadangkan oleh pihak MSN untuk kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia / Para SUKMA akan datang. Seterusnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan cadangan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tujuan kelulusan pelaksanaan temasya ini.
DATO’ SERI AHMAD FAIZAL DATO’ AZUMU
MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2021