Misi memburu kelayakan hatrik dalam Sukan Olimpik buat dua pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin, dibatasi dengan kelibat pemenang pingat edisi lalu dan pasukan pilihan, Itali dan Amerika Syarikat (AS).
Itali dan AS masih belum layak ke Tokyo dan ia menyukarkan misi Khairul Anuar dan Haziq untuk ke Sukan Olimpik tahun depan.
Ia halangan pertama yang perlu diatasi pemanah negara itu jika benar-benar mahu melayakkan diri buat kali ketiga ke temasya itu.
Selaku pemegang pingat dalam edisi lalu, Itali dan AS akan menjadi pasukan pilihan untuk mengisi tiga kedudukan teratas dalam Piala Dunia Memanah di Perancis tahun depan.
Ia merupakan satu-satunya peluang untuk mengisi slot kelayakan ke Tokyo bagi acara berpasukan.
“Mereka dua kali berturut-turut meraih pingat dalam Sukan Olimpik. Untuk edisi kali ini, mereka belum layak dan di situ tentangan menjadi lebih kuat selain dua atau tiga negara kuasa besar yang masih belum layak,” kata Khairul Anuar.
Sementara itu, Haziq berharap akan ada satu kejohanan yang mampu membantu persediaan mereka sebelum menghadapi ujian itu.
“Memanah agak kurang pencapaian, lagi-lagi dengan prestasi yang kurang memberangsangkan.
“Jadi, apa yang saya boleh buat ialah mencuba untuk layak dan terus memberikan aksi terbaik,” katanya