Atlet Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan kini boleh bersiap sedia susulan kebenaran untuk berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) secara berperingkat bermula 5 Julai ini. Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menerusi kenyataan hari ini berkata, Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah memberi persetujuan kepada MSN untuk memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah program berkenaan.
Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seramai 539 atlet dan 142 jurulatih di bawah program Road To Tokyo, Podium dan Pelapis Kebangsaan akan dipanggil balik untuk menjalani latihan harian secara sepenuh masa di pusat latihan yang ditetapkan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara; Kompleks Sukan MSN, Keramat dan Pusat Pelayaran Nasional, Langkawi.
Bagi sukan para pula, seramai 135 atlet dan 31 jurulatih daripada program RTT dan Podium akan melapor diri ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan pada 5 Julai.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan semua atlet yang mendaftar masuk ke pusat latihan, perlu menjalani ujian kesihatan ketika pendaftaran selain menjalani kuarantin selama dua hari sementara menunggu keputusan sebelum boleh memulakan rutin seperti biasa. – Bernama