BANYAK yang perlu dilakukan oleh barisan atlet memanah negara termasuk latihan menajamkan skil selain kekuatan fizikal selepas hampir tiga bulan berada di rumah.
Biarpun latihan tetap diteruskan seperti biasa ketika berada di rumah, namun jurulatih memanah negara, Lee Jae Hyung berkata itu tidak mencukupi untuk atlet berada di kemuncak prestasi.
Jurulatih kelahiran Korea yang fasih berbahasa Melayu itu berkata, tempoh sebulan berada di kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) akan digunakan sebaik mungkin untuk mengembalikan ketajaman skil atlet dengan tahap kecergasan yang optimum.
“Atlet luar sudah lama memulakan latihan tapi kita baru saja mula. Jadi kita perlu mula semula dari bawah biarpun sedikit ‘slow’ di permulaan.
“Saya merancang untuk atlet memulakan latihan dengan anak panah untuk mengasah kembali skil mereka,” katanya.
Ditanya berhubung dengan prosedur operasi standard (SOP), ia bukan satu masalah besar malah beliau yakin semua atlet dapat mengikuti syarat yang ditetapkan ketika dalam kem latihan.
“Atlet semua sudah lama tidak berlatih jadi mereka semua sudah bersedia dengan SOP yang ketat.
“Saya tengok pun mereka semua gembira dapat kembali berlatih semula selepas lama berehat. Bagaimanapun saya perlu lihat keadaan semasa mereka dan bermula dari bawah,” katanya.
Seramai empat atlet melapor diri ke kem memanah negara yang diketuai oleh pemanah Olimpik negara Khairul Anuar Mohammad selain Mohd Haziq Kamaruddin, Mohd Zarif Syahir dan Akmal Norhasrin dalam usaha melayakkan diri ke temasya terbesar itu.
Kini hanya ada satu lagi peluang ke Sukan Olimpik Tokyo iaitu kejohanan kelayakan terakhir di Berlin, Jerman yang akan berlangsung bersama kejohanan Piala Dunia Peringkat 3 yang dijadualkan bermula dari 21 hingga 28 Jun ini namun belum ada sebarang perkhabaran berhubung tarikh baru pertandingan berkenaan.