Selepas hampir tiga bulan tidak turun berlatih, pemanah negara, Haziq Kamaruddin meluahkan rasa gembira selepas menerima perkhabaran dibenarkan kembali semula ke lapangan di pusat latihan Bukit Jalil.
Haziq yang memburu tiket ke Olimpik Tokyo bersama beberapa atlet memanah yang berpotensi ke temasya itu, akan memulakan latihan 1 Jun ini di pangkalan pusat yang dibenarkan. Bagaimanapun, timbul sedikit kebimbangan berhubung wabak Covid-19 kerana masih ada lagi kes yang masih aktif di Malaysia.
“Takut itu memang ada tapi saya rasa MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) akan melakukan pemantauan terbaik bagi memastikan kesihatan atlet terjamin. “Lagi pula, saya memerlukan lebih kurang sebulan untuk kembali mendapatkan rentak dan prestasi seperti sebelum ini kerana ada langkah yang perlu diikuti supaya stamina dan tubuh kita boleh ikut dengan tahap bebanan yang dibuat nanti,” katanya.
Haziq kini menjadi taruhan negara untuk layak beraksi di Tokyo dalam acara berpasukan seterusnya mengikuti jejak langkah rakan pasukan, Khairul Anuar Mohd yang terlebih dulu mengesahkan tempat ke Olimpik selepas menduduki tempat kedua Kejohanan Dunia di Belanda tahun lalu.
Kini hanya ada satu lagi peluang iaitu kejohanan kelayakan terakhir di Berlin, Jerman yang akan berlangsung bersama kejohanan Piala Dunia Peringkat 3 yang dijadualkan bermula dari 21 hingga 28 Jun ini namun belum ada sebarang perkhabaran sama ada kejohanan berkenaan akan ditunda atau tidak.
Fokus utama skuad memanah ketika ini untuk memburu tempat dalam acara berpasukan dan jika layak dalam acara berpasukan secara automatik boleh beraksi dalam acara individu. Untuk layak ke Tokyo, trio negara perlu menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik di kejohanan itu.