Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) meneliti dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai bagi membolehkan atlet kembali menjalani latihan pusat. Begitupun, buat masa ini, atlet masih belum dibenarkan melakukan aktiviti latihan berpusat seperti sebelum ini walaupun terdapat kelonggaran diberikan kerajaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami akan mengadakan perbincangan lanjut bersama ISN (Institut Sukan Negara), jurulatih dan pemegang taruh yang lain terlebih dahulu.
“Kita tidak perlu terburu-buru,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail kepada BH Sukan hari ini.
“Sementara itu, atlet masih boleh meneruskan latihan sendiri dengan membuat sedikit modifikasi latihan teknikal atau spesifik sukan masing-masing berasaskan syarat digariskan pihak MKN iaitu di kawasan terbuka, berseorangan tanpa bersentuhan, penjarakan sosial dan tidak membabitkan kumpulan yang besar selain dari amalan memakai topeng muka, sanitasi diri dan amalan kebersihan diri yang lain.
“Pendekatan yang sama seharusnya diambil oleh rakan-rakan lain di negeri-negeri dan persatuan atau kelab yang berkenaan,”.
Hari ini, kerajaan mengumumkan latihan pasukan kebangsaan, peringkat negeri termasuk sukan bermotor dan juga beberapa penganjuran acara sukan dilonggarkan kawalan pergerakan.