PENGALAMAN yang dimiliki selama empat tahun bersama pasukan memanah negara di pentas antarabangsa kini semakin rancak dikongsi dengan atlet muda yang mula melangkah di arena kebangsaan.
Menurut pemanah compound negara, Nurul Syazhera Mohd Asmi, dia mula berjinak dengan bidang kejurulatihan sejak tiga tahun lalu selepas mendapat tawaran Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk melatih atlet Sukan Malaysia (Sukma) negeri berkenaan.
Katanya, dia dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk melatih 12 pemanah compound Terengganu yang akan bersaing pada Sukma Johor 2020 tahun depan, disamping memantau seramai 22 atlet lain.
“Saya seronok dengan tugas berkenaan yang dianggap mencabar, tumpuan mengajar perlu sentiasa diberikan bagi memastikan setiap atlet dapat memahami seterusnya menggunakan setiap teknik yang ditunjukkan.
“Untuk melahirkan atlet berkemahiran tinggi bukan mudah, sebagai jurulatih pengorbanan perlu dilakukan untuk memastikan pencapaian terbaik dapat diterjemahkan di gelanggang sebenar,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.
Beliau yang tidak berpeluang menyertai pertandingan peringkat antarabangsa musim ini selepas pasukan compound digugurkan daripada program 2020 berkata, tidak dinafikan debaran selaku jurulatih tetap terasa selagi Sukma Johor 2020 belum selesai.
Nurul Syazhera berkata, ujian pertamanya ialah pentas Sukma, kejayaan pasukan compound Terengganu membawa pulang pingat emas bermakna dia berjaya menjalankan tugas yang diberikan namun sekiranya berlaku sebaliknya ia suatu detik mendukacitakan.
Mengenai latihan ketika ini, bagi membantu 12 atlet yang tersenarai membawa cabaran Terengganu di pentas Sukma Johor tahun depan, katanya usaha melatih mereka dilakukan secara sidang video setiap minggu.
Atlet juga perlu menghantar rakaman video latihan mereka setiap hari.
“Saya akan menunjukkan pelbagai teknik memanah sebagai ulangan kepada atlet, mereka akan membuatnya dan saya akan membetulkan sekiranya berlaku kesilapan dilakukan.
“Maklum balas yang diterima semua atlet selesa dengan cara yang digunakan. Kemesraan saya dan atlet juga semakin erat apabila dapat bersiaran antara sejam hingga sejam setengah,” katanya yang berharap pasukan memanah Terengganu meraih kejayaan di gelanggang Sukma Johor tahun depan.
Nurul Syazhera berkata, tahun lalu dia menyertai tiga kejohanan di pentas antarabangsa membabitkan kejohanan memanah Piala Asia di Thailand, Taipei dan Filipina bersama pasukan compound negara serta berjaya meraih tiga pingat emas dan dua gangsa individu.