Kesemua aktiviti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), kokurikulum termasuk Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditangguhkan sehingga isu COVID-19 selesai.
“Buat masa ini, aktiviti sukan, kokurikulum ditangguhkan sehingga COVID-19 selesai dan kita akan melihat kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Apa yang kita tahu, buat masa ini KKM menasihatkan untuk mengelakkan sebarang perhimpunan awam dalam tempoh enam bulan sehingga setahun (selepas Perintah Kawalan Pergerakan).
“Jadi kita akan lihat situasi ketika ini. Kita harus mengutamakan pelajar yang mengambil bahagian apatah lagi saingan liga ini merentasi negeri,” kata Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Zainal Abas.
Bulan lalu, KPM memutuskan semua program membabitkan perhimpunan ramai seperti aktiviti sukan dan kokurikulum pada bulan ini ditangguhkan bagi mencegah pandemik COVID-19.
Malah, kementerian turut menyeru kesemua warga KPM supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penularan jangkitan wabak merbahaya itu seperti dikeluarkan KKM. KPM juga akan sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani gejala berkenaan.