SUKAN memanah tahun ini pastinya melalui episod hambar apabila hampir semua kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dibatalkan berikutan wabak Covid-19 yang melanda banyak negara.
Bagi pemanah berpengalaman negara Mohd Juwaidi Mazuki berpendapat semua pihak perlu berlapang dada dan menerima hakikat bahawa keselamatan dan kesihatan perlu diberi keutamaan.
Katanya, selain Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang masih belum diputuskan lagi penganjuranya beberapa kejohanan peringkat antarabangsa hampir pasti tidak dapat diadakan bagi menjamin keselamatan peserta, pegawai dan penonton.
“Tahun ini saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana kejohanan berikutan kesibukan menguruskan kedai peralatan memanah termasuk terbabit menyediakan pasukan memanah Sukma Melaka.
“Saya juga tidak dapat menumpukan pada sesi latihan seperti yang biasa dilakukan sebelum ini, banyak masa dihabiskan bersama keluarga dan kegiatan luar,” katanya yang semakin serasi memikul tugas sebagai jurulatih.
Menurut pemenang pingat emas acara compound berpasukan lelaki Sukan SEA 2019 di Filipina itu, dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet memanah yang terbaik proses mencungkil bakat baru perlu terus dilakukan terutama diperingkat daerah dan negeri.
Mohd Juwaidi berkata, sokongan Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri dan Kementerian Pendidikan Makaysia perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan masa depan sukan memanah terus berada di landasan sebenar.
Tegasnya lagi, peranan ibu bapa menjadi tonggak utama kepada pencetus kejayaan melahirkan atlet memanah kerana diperingkat awal semua peralatan dan sesi latihan perlu disediakan dengan perbelanjaan agak besar.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan atlet mengadakan latihan di rumah, tapi saya tidak berpeluang kerana menguruskan isteri yang melahirkan anak kedua kami tiga minggu lalu.
“Saya kini perlu lebih menumpukan kepada perniagaan kedai peralatan memanah yang mula beroperasi enam tahun lalu, saya minat dengan perniagaan berkenaan terutama apabila turut dapat berkongsi pengalaman dengan atlet,” katanya yang turut meraih pingat emas Kejohanan Memanah Piala Asia 2019.
Beliau berkata, sepanjang PKP masyarakat diharap dapat mematuhi arahan tidak keluar rumah bagi memutuskan rangkaian virus Covid-19, bantulah petugas barisan hadapan yang bertugas dengan penuh tanggungjawab.