Pemanah wanita negara, Nur Aliya Ghapar, kecewa apabila tidak ditawarkan kontrak baru, tiga bulan menjelang pusingan kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.
Ia selepas trio recurve negara yang dibarisinya menabur bakti selama hampir tujuh tahun di Bukit Jalil.
Keputusan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) susulan kegagalan pemanah negara mencapai sasaran yang ditetapkan sepanjang tahun lalu.
Nur Aliya berasakan keputusan itu patut dilakukan selepas Piala Dunia Memanah di Jerman, yang juga kejohanan kelayakan terakhir untuk ke Tokyo, Jun depan.
“Saya rasa agak terkejut dengan keputusan yang mereka buat.
“Sebab kami hampir (layak) ke Sukan Olimpik.
“Saya rasa agak kecewa jugaklah.
“Sepatutnya berilah peluang terakhir sehingga bulan Jun,” katanya.
Skuad lelaki negara pula akan meneruskan cabaran untuk memburu slot ke Tokyo selepas hanya Khairul Anuar Mohamad telah mengesahkan kelayakan secara merit ke temasya itu.
Pasukan seliaan Lee Jae-hyung itu akan menyertai Kejohanan Grand Prix Asia di Bangkok bermula Isnin ini.
“Lagi dua hari kami akan berlepas ke Bangkok.
“Ia merupakan perjalanan pertama kami untuk layak ke Sukan Olimpik.
“Jadi, harap-harap segalanya berjalan lancar,” kata pemanah recurve negara, Haziq Kamaruddin.