Harapan untuk lagu Negaraku berkumandang di Kejohanan Dunia di Belanda tidak kesampaian apabila wakil negara dalam acara recurve lelaki, Khairul Anuar Mohamad tewas di tangan pencabarnya dari Amerika Syarikat, Brady Ellison sebentar tadi.
Bagaimanapun, Khairul Anuar tetap memberi saingan sengit mengikat lawannya dengan keputusan 5-5 sebelum perlawanan diheret ke penentuan shootoff di Hertogenbosch, Belanda itu.
Perlawanan dimenangi Ellison selepas meraih mata maksimum (10 mata) di shootoff manakala Khairul Anuar lapan mata sekali gus membenarkan pemanah dari Amerika Syarikat itu meraih kemenangan dengan mata 6-5 untuk bergelar juara dunia.
Apapun, persembahan Khairul Anuar di Belanda tetap membanggakan, membawa pulang pingat perak selain menempah tiket individu untuk Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Slot berkenaan diraihnya selepas mara ke peringkat separuh akhir sebelum ini dengan menewaskan rakan senegara Ellison, Jack Williams 7-3 di suku akhir.