PEMANAH compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki berharap tempoh 10 hari sesi latihan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu mencukupi untuk membantu mereka menyesuaikan diri pada Kejohanan Dunia di Belanda.
Saingan di ‘s-Hertogenbosch dari 10 hingga 16 Jun dijangka berlangsung dalam keadaan berangin dan cuaca yang sejuk sekitar lima sehingga 18 darjah celsius.
“Saya berharap tempoh ini memadai bagi kami untuk menangani keadaan berangin semasa pertandingan nanti.
Kami dijadual menjalani latihan yang agak padat iaitu sebanyak tiga sesi (pagi, petang dan malam).
“Cuaca sejuk boleh ditangani dengan mengenakan pakaian tebal namun keadaan berangin agar sukar dengan kami tidak mempunyai pilihan selain menyesuaikan diri secepat mungkin,” jelas pemanah berpengalaman itu.
Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memilih UniSZA sebagai lokasi terakhir latihan 12 anak buah Lee Jae-hyung sebelum berlepas ke Belanda.
Selain Juwaidi, trio compound negara akan bergandingan bersama Zulfadhli Ruslan selain kehadiran muka baru, Syahrizan Jafar.
“Kami masih belum menetapkan sasaran kerana ini adalah gabungan yang baru.
Mungkin selepas latihan ini kami akan mampu melihat tahap kami dan selepas itu sasaran boleh ditetapkan,” tambahnya.