Pasukan memanah Selangor mensasar untuk mengekalkan satu pingat emas yang dimenangi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.
Jurulatihnya, Arif Farhan berkata sasaran itu paling logik setakat ini berdasarkan kekuatan dan kemampuan atlet bagi mengharungi cabaran sukan dwitahunan di Johor tahun depan.
“Walaupun sukan memanah kini dalam format berbeza, iaitu dengan jarak 70 meter, tapi kita optimis mengekalkan kemenangan terutama dalam acara berpasukan,” katanya.
Beliau menambah setakat ini pasukan itu belum memutuskan senarai akhir atlet yang akan terpilih yang dikurangkan daripada 26 kepada 16 individu.
“Setakat ini kita berusaha untuk mengembalikan kecergasan, stamina dan psikologi atlet, memandangkan terpaksa berehat panjang akibat wabak Covid-19,” katanya.
Selangor memenangi satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukma yang berlangsung pada 11 hingga 22 September 2018.
Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan pandemik Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan, manakala Para Sukma berlangsung dari 5 hingga 10 April.
Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan berkenaan.