NILAI (14 MEI 2017) – Pemanah Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Muhammad Azmi Muhammad Rafeek berjaya mengungguli edisi sulung Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD 2017 selepas menewaskan pemanah dari Kelab Memanah Hulu Langat, Muhammad Syazwan Akif Saifol Bakhri dalam penentuan pingat Emas kategori lelaki bawah 15 tahun.

Muhammad Azmi jelas sekali berada dalam prestasi terbaik apabila membidik dengan begitu yakin untuk mencatat kemenangan 6-2 untuk pulang dengan pingat Emas dan wang tunai RM300. Syazwan pula sekadar berpuas hati dengan pingat Perak dan wang tunai RM200. Gangsa milik pemanah Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah, Muhammad Afham Marzuki Amirdin.

Azmi yang ditemui selepas kejohanan berkata “Saya bersyukur dapat menjuarai kejohanan yang kali pertama dianjurkan ini. Ia memberikan saya motivasi tambahan untuk lebih berjaya dalam sukan memanah selepas ini”.

Sementara itu, Fya Arissa Baharom yang mewakili Kelab Memanah Seri Pagi turut cemerlang apabila dinobatkan selaku pemenang pingat Emas selepas mengatasi Nurul Azreena Mohamad Fazil dari Kelab Memanah Sasar dengan kemenangan 6-2. Kejayaan manis ini dibantu persembahan konsisten sepanjang 2 hari kejohanan yang bermula pada Sabtu, 13 Mei 2017. Fya Arissa yang ditemui melahirkan rasa teruja biarpun beraksi dalam cuaca panas.

“Memang tak sangka boleh menang. Saingan sengit daripada pencabar lain. Ini merupakan penyertaan sulung saya di kejohanan peringkat kebangsaan. Latihan keras selama ini berbaloi akhirnya. Saya nak wakili negara satu hari nanti”.

Kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun turut berlangsung sengit.

Pingat emas acara lelaki dimenangi pemanah dari BJ Wolfpack, Muhaimin Mohd Farid, menewaskan A’zat Faris Fathulla dalam penentuan pingat Emas. Muhaimin nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mengatasi A’zat dengan kemenangan 7-3. Gangsa dimenangi Ahmad Irfan Ajnizar dari Kelab Memanah Hulu Langat.

Sementara bagi kategori perempuan, pemanah dari Kelab Memanah Hulu Langat, Nur Ieka Hariesya muncul pemenang, menewaskan Tengku Aisyah Rohani dari BJ Wolfpack dalam perlawanan akhir dengan mata 6-0. Nur Ieka Hariesya pulang dengan hadiah wang tunai RM300 selaku pemenang pingat emas.

Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD ini yang terbuka kepada pelajar lelaki dan wanita berusia bawah 12 tahun serta 15 tahun. Ia membabitkan kategori Recurve 30 meter (M) individu dan berpasukan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Besar Operasi PNB Development Sdn. Bhd, Ir. Wan Azian Wan Yusoff dan Ketua Pembangunan Perbandaraan Kota Seriemas, Encik Saiful Ibrahim di Padang Bola Sepak Laman Cempaka, Kota Seriemas.

Kejohanan anjuran PNBD selaku penaja utama mendapat kerjasama daripada Persatuan Memanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Keputusan penuh kejohanan;

Bawah 12 tahun Lelaki Individu
1. Muhaimin Mohd Farid (BJ Wolfpack – EMAS)
2. A’zat Faris Fathulla (Gege Archery Club – PERAK)
3. Ahmad Irfan Ajnizar (Hulu Langat – GANGSA)

Bawah 12 tahun Perempuan Individu
1. Nur Ieka Hariesya (Hulu Langat – EMAS)
2. Tengku Aisyah Rohani (BJ Wolfpack – PERAK)
3. Qashrin Damia Mohd Qassim Fitri (Hulu Langat – GANGSA)

Bawah 12 tahun Lelaki Berpasukan
1. Pro Ace (EMAS)
2. Gege Archery Club (PERAK)
3. BJ Wolfpack (GANGSA)

Bawah 12 tahun Perempuan Berpasukan
1. BJ Wolfpack (EMAS)
2. Hulu Langat (PERAK)
3. Nadi Archery (GANGSA)

Bawah 15 tahun Lelaki Individu
1. Muhammad Azmi Muhammad Rafeek (Sek. Sukan Malaysia Pahang – EMAS)
2. Muhammad Shazwan Akif Saifol Bakhri (Hulu Langat – PERAK)
3. Muhammad Afham Marzuki Amirdin (MRSM Alor Gajah – GANGSA)

Bawah 15 tahun Wanita Individu
1. Fya Arissan Baharom (Seri Pagi Archery – EMAS)
2. Nurul Azreena Mohamad Fazil (Sasar – PERAK)
3. Aisyah Najihah Mohd Azizul (Sasar – GANGSA)

Bawah 15 tahun Lelaki Berpasukan
1. Hulu Langat B (EMAS)
2. Sek. Sukan Malaysia Pahang (PERAK)
3. BJ Wolfpack (GANGSA)

Bawah 15 tahun Wanita Berpasukan
1. Sasar ALPHA (EMAS)
2. SMK Kampung Baru Si Rusa (PERAK)
3. Seri Pagi Archery (GANGSA)

Leave a Reply