ATLET memanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh. – Foto Hasriyasyah Sabudin – BH Online

KUALA LUMPUR: Pemanah elit kebangsaan, Fatin Nurfatehah Mat Salleh terus mempamerkan aksi cemerlang dengan meraih pingat emas kedua peribadi pada hari terakhir Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan Pertama/Terbuka Wira di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Keramat di sini, hari ini.

Pada aksi final acara compound individu wanita, Fatin Nurfatehah, 25, yang mewakili Pusat Kecemerlangan Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (PKS-KPT) menerima tentangan sengit daripada pemanah kelab CX-Kings, Lau Jiun Shen sebelum menang tipis 140-139. Sebagai rekod, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 itu meraih pingat emas pertama acara compound berpasukan campuran bersama Amirul Amin Abd Rahim, semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi atlet elit kebangsaan, Mohd Juwaidi Mazuki yang juga atlet Program Kita Juara, mempamerkan panahan cemerlang apabila meraih emas acara compound individu lelaki menerusi kemenangan 146-143 ke atas rakan sepasukan, Muhammad Ghazali Alang Arif Aqil. Program Kita Juara adalah program khas diwujudkan MSN untuk atlet negara meraih kejayaan cemerlang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 19 hingga 31 Ogos ini.

Pemanah pelapis kebangsaan, Nur Fatin Adibah Mohd Zambri pula menguasai acara recurve individu wanita selepas menang selesa 6-0 ke atas atlet Terengganu, Nur Aqilah Yusof. Bekas atlet kebangsaan, Cheng Chu Sian yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia, memenangi acara recurve individu lelaki selepas menang 6-0 ke atas pemanah Selangor, Muhammad Ikram Zaidi.

Sementara itu, trio PKS-KPT yang diketuai pemanah kebangsaan Atiq Bazil Bakri, Muhammad Fareez Rosli dan Nazir Omar, memenangi acara recurve berpasukan lelaki selepas menundukkan trio Program Kita Juara, Ahmad Afiq Akhiroman/Muhammad Norhairunizam Rosdi/Muhammad Shaifuddin Kamro, 5-1.

Sementara itu, trio Selangor, Aishah Najihah Mohd Azizul/Nur Adlina Marini Amir Suharman/Nur Syahirah Mohd Zaimi memenangi pingat emas acara recurve berpasukan wanita selepas mengejutkan trio pelapis kebangsaan B, Mimi Raihan Yazid/Supang Yahya/Syaqiera Mashyaikh, 6-2. Seramai 341 pemanah daripada seluruh negara menyertai kejohanan empat hari itu yang bermula Khamis lalu. – BERNAMA

Leave a Reply